Rumusan Kepentingan Pelaksanaan PPSMI

Bahasa adalah alat untuk memperoleh ilmu. Kebanyakan sumber ilmu Sains dan Matematik adalah dalam bahasa Inggeris, maka adalah wajar untuk menyediakan murid menerusi PPSMI supaya murid Malaysia dapat bersaing pada peringkat antarabangsa. Ini kerana, selain bahasa, ilmu adalah ciri utama memperkasakan modal insan.

Dasar PPSMI mirip program Immersion (Swain, 1997) dan Program Content and Language Integrated Learning (CLIL) (Marsh 2002) yang dilaksanakan di Amerika Syarikat dan di kebanyakan negara Eropah. PPSMI juga dilaksanakan di Brunei, Singapura dan Hong Kong di mana bahasa pengantar yang digunakan tidak sama dengan bahasa ibunda murid. Di Malaysia, PPSMI dilaksanakan dengan matlamat supaya murid dapat menguasai ilmu Sains dan Matematik yang cepat berkembang dan kebanyakannya adalah dalam bahasa Inggeris. Dasar ini dijangka berupaya menyediakan murid untuk lebih berdaya saing dengan murid daripada negara lain pada masa hadapan.

Apabila dasar PPSMI diperkenalkan, KPM tidak bermaksud untuk menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam menguasai ilmu Sains dan Matematik. Malah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah melahirkan ramai saintis dan ilmuwan dan bahasa Melayu pada masa yang sama telah berjaya menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa seperti yang dihasratkan kerajaan. Isu meminggirkan bahasa ibunda juga tidak wujud kerana penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar masih kekal dalam pengajaran:
Segala cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan PPSMI sememangnya sudah dijangka dari awal lagi dan perlunya langkah penambahbaikan diambil secara berterusan. Dalam hal ini, pendidikan yang berkualiti dan kecemerlangan sistem pendidikan mesti dilihat sebagai satu proses yang berterusan dan sentiasa perlu ditambah baik. Pembentukan suatu dasar perlu relevan dengan situasi semasa, dan pada masa yang sama dapat menyelesaikan isu terkini juga cabaran masa hadapan. Jurang dari segi akses, ekuiti dan kualiti pula akan terus ditangani dengan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan.

Akhir sekali, bagi memastikan output sistem pendidikan adalah berkualiti dan seperti yang dihasratkan, semua lapisan masyarakat termasuklah para ilmuwan dan cendekiawan negara sewajarnya bekerjasama dan saling bermuafakat menangani setiap isu dan permasalahan secara kolaboratif dan sistematik.

Continue Reading 02/04/2009 at 1:34 pm Tinggalkan komen

Melangkah Ke Depan

Kami yakin bahawa Kementerian Pelajaran akan terus mengutamakan empat perkara dalam kertas kabinet berkaitan PPSMI yang disediakan untuk diangkatkan kepada Jemaah Menteri . Kami amat yakin Kementerian Pelajaran akan terus utamakan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dengan meneruskan usaha-usaha memartabatkannya. Kami percaya bahawa Kementerian Pelajaran akan mengambil pandangan yang telah dikemukakan semasa rundingan Meja Bulat iaitu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan warga Kementerian Pelajaran dan bukan hanya tertumpu pada murid sahaja. Di samping meningkatkan kompetensi guru dalam Bahasa Inggeris, kecekapan pedagogi atau pun perkaedahan pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam Sains dan Matematik akan turut ditingkatkan. Selain itu, kementerian juga perlu berikan perhatian yang lebih kepada guru-guru yang berkhidmat di luar bandar dan pedalaman sejajar dengan dasar pendemokrasian pendidikan. Dengan cara ini, Kementerian Pelajaran dapat memastikan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik khususnya di luar bandar sentiasa cemerlang, dan dapat mencapai hasrat negara melahirkan modal insan yang mampu menyumbang kepada perkembangan sains dan teknologi.

Walaupun kami yakin yang Kementerian Pelajaran untuk melaksana perubahan yang menguntungkan negara dan bangsa, kami juga sedar dengan beberapa cabaran yang dihadapi oleh guru dan murid dalam melaksanakan PPSMI. Antara cabaran yang dihadapi adalah masalah infrastruktur dan kompetensi sumber manusia yang boleh ditangani. Seperti yang kita dapat lihat sendiri di sekolah-sekolah di seluruh negara, usaha untuk meningkatkan infrastruktur seperti kemudahan prasarana, peralatan ICT dan bahan bantu mengajar giat dilaksanakan. Kemahiran dan kompetensi guru juga diberikan perhatian yang sewajarnya menerusi pelbagai latihan serta program yang terancang dan berjadual agar tidak menjejaskan pembelajaran murid di bangku sekolah.

Continue Reading 31/03/2009 at 12:47 am Tinggalkan komen

Membidas Memorandum GMP

Kami percaya semua warga Malaysia sedar mengenai keperluan untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk semua warga Malaysia sebagai langkah untuk menyediakan anak-anak kita untuk menghadapi pelbagai cabaran seperti globalisasi, liberalisasi dan perkembangan hebat dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Selain itu, keperluan untuk membangunkan ekonomi negara serta mengharungi kemelesetan ekonomi memerlukan modal insan yang berkeupayaan untuk menghadapi persaingan di peringkat lokal dan antarabangsa memerlukan kemahiran abad ke 21 (21st Century Skills). Kami juga mengharapkan Kementerian Pelajaran untuk menyediakan pendidikan yang berorientasikan masa hadapan bagi membolehkan anak-anak Malaysia menghadapi cabaran pada akan datang.

Mungkin GMP tidak sedar bahawa dasar-dasar pendidikan zaman pra merdeka dan laporan-laporan Barns dan Razak memang amat relevan dan sesuai pada ketika itu, namun perlu sedikit penyesuaian pada zaman sekarang. Perubahan zaman memerlukan perubahan kepada sistem pendidikan atau menghadapi risiko ketinggalan. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk menyamakan dasar dahulu dengan sekarang, dengan menyatakan bahawa kita melakukan perkara yang betul berasaskan kepada dasar yang dilaksanakan terdahulu. Oleh itu, kami selaku kumpulan ibu bapa amat menyokong sekiranya Kementerian Pelajaran dapat menjangka keperluan murid di masa hadapan untuk dilaksanakan pada masa sekarang. Kami yakin sistem yang perubahan dasar pendidikan hanya boleh diluluskan oleh kabinet dapat memberi jaminan bahawa sesuatu perubahan dasar memang untuk kebaikan anak-anak Malaysia dan negara!

Namun, kami telah dimaklumkan oleh YB Menteri Pelajaran bahawa Kementerian Pelajaran telah mengadakan lima siri rundingan Meja Bulat dalam proses menyediakan kertas kabinet berkaitan dengan Dasar PPSMI untuk diangkatkan ke Jemaah Menteri (yang diwakili oleh pelbagai kaum). Selain itu, analisis hasil kajian dan pemantauan tentang pelaksanaan PPSMI yang dijalankan daripada tahun 2003 sehingga 2008, termasuklah keputusan UPSR (2004-2008), PMR (2000-2008), SPM (2002-2008) dan STPM (2002-2008) telah diambil kira dalam penyediaan kertas kabinet tersebut. Kami amat yakin bahawa perkara perubahan/pengubahsuaian Dasar PPSMI akan dibincangkan dengan terperinci dalam Jemaah Menteri. Kami juga tidak setuju dengan pandangan GMP bahawa anggota-anggota rundingan meja bulat itu adalah sekadar “tangkap muat” kerana dalam senarai keanggotaan rundingan meja bulat terdapat mereka yang betul-betul berwibawa dalam pendidikan sains dan matematik. Kami berharap supaya kertas tersebut dapat dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat seperti mana dimaklumkan oleh Kementerian Pelajaran.

Continue Reading 30/03/2009 at 3:12 am Tinggalkan komen

Perjumpaan GMK dengan KPM

Kami difahamkan daripada rakan-rakan pemberita bahawa Dato’ Dr. Hassan Ahmad dan Dato’ A. Samad Said, telah memohon untuk berjumpa dengan YB Menteri Pelajaran sebelum ini. Perjumpaan tersebut telah berlangsung pada 19 Mac 2009 dan kami dimaklumkan bahawa perjumpaan tersebut berjalan dalam suasana mesra, jujur dan ikhlas.

Dalam perjumpaan tersebut beberapa isu telah diperbincangkan. Antaranya, Isu PPSMI, transformasi kurikulum di peringkat sekolah rendah dan pra- sekolah untuk menggantikan kurikulum bersepadu sekolah rendah, usaha kerajaan untuk menilai semula sistem pentaksiran dan peperiksaan kebangsaan dan komitmen Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Malaysia.

Yang kami hairan adalah, sebelum perbincangan ini, Harakah telah menyatakan bahawa Dato’ A. Samad Said akan perjuangkan bersama PAS, namun kedua-dua tokoh ini menafikan bahawa perjuangan mereka selama ini tidak didalangi oleh sesiapa dan memberi gambaran bahawa pihak pembangkang telah mengambil kesempatan atas keiklasan mereka. Kami amat berharap bahawa mereka ini benar-benar iklas dan akan mengambil langkah-langkah yang positif untuk mengelakkan daripada dipergunakan oleh pihak pembangkang pada masa akan datang!

Memandangkan pintu Kementerian Pelajaran telah dibuka kepada kedua orang “tokoh” ini kami amat berharap supaya kedua-dua orang ini tidak lagi membawa pandangan mereka berkaitan dengan PPSMI ke jalanan Kuala Lumpur. Walaupun, mereka telah berbincang dengan Menteri Pelajaran, namun YB Menteri Pelajaran memaklumkan bahawa, beliau akan terus mendengar pandangan PIBG, perwakilan UMNO serta mana-mana pihak yang berminat sepertimana yang beliau nyatakan dalam Parliament awal bulan ini. Oleh yang demikian, kami berharap semua yang berkenaan boleh mengutarakan pandangan mereka melalui saluran-saluran yang telah disediakan dan bukan di jalanan Kuala Lumpur!

Continue Reading 20/03/2009 at 5:21 pm 1 komen

Sembang Kedai Kopi

Mamat : Bodoh betul.bangang.Si Hisham ini.

Kadir : Hisham mana pulak ni brader ??

Shukor : Yelah Mat, apa yang kau bising bising ini?

Mamat : Hisham lah..Hishamuddin Hussein, Menteri Pelajaran.

Kadir : Apa hal dengan dia? Kenapa pulak bodoh?

Mamat : Apa tak bodohnye..ni pasal ajar sains matematik guna bahasa Inggeris. Orang dah bising ..ubah jelah.Apa yang nak tunggu tunggu lagi …

Kadir : Kan dia dah kata bende ini kena teliti elok elok.Mana boleh main buat keputusan je ..

Mamat : Yelah..tapi dia kan nak bertanding naib presiden umno..buat je keputusan popular.. janji menang..

Shukor : maknanya mansuhkan PPSMI? Camtu saja? Mana boleh Mat. Ini soal anak anak kita

Mamat : Yelah.orang Melayu tak suka PPSMI. Ubah je.Kalau aku macam Hisham aku mansuhkan. Dan dan orang umno suka aku. Sure menang naib presiden.orang melayu suka aku.. settle masalah..

Kadir : Betul jugak.. janji menang.Kan dia politician ? Shukor: Memang politician tapi dia ada tanggungjawab beb…

Mamat : Alah..tanggungungjawab… nak menang ke tak ? Lagi pun orang Melayu tak suka PPSMI…kau tak tengok TV ke?? Lima ribu orang buat protes kat KL .bantah PPSMI…

Kadir : Lima ribu ??? Itu surat khabar kata. Jangan percaya. Aku rasa lebih 20 ribu ada…

Shukor : Ok ok. Katalah 20 ribu orang buat protest. Katalah 30 ribu orang. Tapi orang Melayu ada berjuta orang. 30 ribu daripada jutaan takde makna. Entah entah lebih ramai menyokong daripada yang menentang.

FIKIR FIKIR LAH BRADER…..

Continue Reading 17/03/2009 at 12:30 am 5 comments

Older Posts


Bilangan Capaian

  • 7,566 capaian

Kalender

April 2024
I S R K J S A
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Perihal Gabungan Pro PPSMI

Kami ibu bapa yang mempunyai anak-anak dibangku sekolah dan sangat risau mengenai perkembangan kebelakangan ini berkaitan dengan GMP (gabungan mansuhkan PPSMI). Pada pandangan kami, PPSMI memang sangat baik untuk anak-anak kita supaya berupaya untuk bersaing di pentas antara bangsa. Memang benar, terdapat ramai ahli sains Melayu di Malaysia, namun berapa daripada mereka benar-benar hanya berpendidikan Melayu dan betul-betul menyerlah di arena teknologi antara bangsa. ... Kami hanya hendak yang terbaik untuk anak bangsa Malaysia.